Hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur di atas pertuduhan mer0g0l seorang pekerja kilang di balai polis, September 2014, semalam.
Tertuduh, Inspektor Mohd Hairul Zaidi Zainal, 33, didakwa mer0g0l seorang remaja berusia 19 tahun dengan menggunakan kuasa dan kedudukannya di sebuah bilik pegawai penyiasat jenayah, tingkat 3, Balai Polis Petaling, Brickfields, antara jam 3 pagi hingga 7 pagi, 17 September 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah sangat serius selain faktor kemungkinan tertuduh akan mengganggu saksi dalam kes itu.
Tertuduh yang diwakili oleh peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh sebelum ini tidak pernah gagal melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, setiap dua kali seminggu, sejak lapan bulan lalu walaupun dibebaskan tanpa jaminan cagaran polis.
"Selain itu anak guam saya sudah berkahwin dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak berusia dua tahun dan tiga bulan serta menanggung ibu bapa, juga adik yang berada di tingkatan lima," katanya.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setiap dua minggu sekali dan dilarang mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Comments
Post a Comment