'Saya tak kisah upah' Mohd Hafis Abdullah 27, atau dikenali ‘Hafiz Runner’ menjadi popular dalam laman sosial di daerah ini selepas mengiklankan khidmat penghantaran barangan dalam daerah walaupun dia seorang OKU.
Hafiz sempat singgah sebentar bertemu wartawan Sinar Harian ketika sedang bekerja menghantar barangan pelanggan. Gambar kanan: Bekerja sebagai pembuat air pada sebelah malam di restoran majikannya dekat Bukit Angin.
TEMERLOH – Pekerjaan menghantar barang biasanya antara peluang mencari duit yang digemari remaja khususnya mereka yang bermotosikal terutama sekali di kawasan bandar besar seperti di Lembah Klang dan sebagainya.
Lazimnya penghantar barang ini akan melakukan penghantaran apa sahaja barangan yang mampu dibawa dengan motosikal dan kebiasaannya barang yang dihantar adalah dokumen penting yang perlu segera tiba ke alamatnya.
Bagaimanapun, pekerjaan khidmat penghantaran barangan ini menjadi popular di daerah ini apabila seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang hanya memiliki sebelah tangan mengiklankan tawaran menghantar barangan tanpa menetapkan harga setiap amanah yang diberikan pelanggannya.
Mohd Hafis Abdullah 27, atau dikenali ‘Hafiz Runner’ menjadi popular dalam laman sosial di daerah ini selepas mengiklankan khidmat penghantaran barangan dalam daerah walaupun dia seorang OKU.
Tidak menang tangan
Mohd Hafis ketika ditemui berkata, sejak mengiklankan perkhidmatannya di laman sosial Facebook kira-kira dua minggu lalu, dia kini tidak menang tangan sehingga terpaksa mengupah tiga lagi ‘runner’ termasuk seorang rakan perempuan untuk membantunya.
Menurutnya, dengan menunggang sebuah motosikal Honda EX5, dia menghantar barangan ke seluruh daerah termasuk dokumen, makanan, sabun, barangan dapur dan pelbagai asalkan boleh dihantar dengan motosikalnya.
“Saya tak kisah upah, saya ambil sahaja setiap pemberian kerana bagi saya apa yang dapat itulah rezeki, yang penting perkhidmatan saya cepat, jujur dan saya amanah serta ikhlas bantu orang ramai.
“Pernah saya dapat RM3 bayaran paling rendah tetapi saya terima kerana tahu, itu adalah rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepada saya,” katanya.
Kemalangan ketika konvoi
Menceritakan latar belakangnya, pemuda yang berasal dari Jengka 20 ini hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga sebelum mengambil keputusan untuk bekerja mencari pendapatan sendiri.
Menurutnya, sejak 10 tahun lalu dia bekerja di merata tempat dan kesemua kerjanya adalah sebagai tukang buat air di kedai makan dan restoran sekitar Temerloh, Maran dan Jerantut.
Menurutnya, dia menjadi OKU apabila terlibat kemalangan jalan raya kira-kira 10 tahun lalu semasa berkonvoi bersama rakan-rakannya menunggang motosikal ke Kuantan.
“Saya mengantuk sangat, terbabas dan tidak sedarkan diri dua hari, apabila sedar doktor nasihatkan saya supaya potong tangan kerana rosak teruk akibat pembuluh darah putus.
“Saya bekerja di merata tempat dengan keadaan tangan sebelah tidak ada tetapi saya reda dan berusaha untuk terus mencari rezeki halal dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Mohd Hafis berkata, dia juga pernah mendapatkan ilmu kemahiran untuk OKU di Bangi beberapa tahun dahulu bagi kelangsungan hidup selepas kematian bapa.
“Saya rasa kekurangan anggota sudah sebati dengan diri saya kerana arwah bapa saya dulu buta kedua-dua mata akibat kemalangan di tempat kerja.
“Walaupun dia macam itu tetapi dia boleh menyara kami empat beradik, kenapa saya yang hanya memiliki sebelah tangan ini tidak mampu buat lebih dari itu,” kata anak kedua dari empat beradik ini.
Jadi pembuat air
Mohd Hafis berkata, tiga tahun lepas dia berpindah dan tinggal bersama kakak yang bertugas di Hospital Temerloh dan sejak itu dia bekerja di pelbagai kedai makan sekitar bandar Temerloh.
Menurutnya, menjadi pembuat air sudah sebati dalam dirinya dan kini dia makan gaji pula dengan pemilik restoran Rotarium yang menyajikan masakan stimbot di daerah Temerloh.
“Sejak bekerja di sini, majikan sentiasa memberikan sokongan untuk saya terus berusaha memajukan diri dan sebab itu saya mengambil keputusan untuk buat kerja ‘runner’ pada hari siang.
“Saya tetapkan waktu 7.30 pagi hingga jam 2.30 petang untuk khidmat penghantaran barangan kepada pelanggan dan 5 petang hingga 12 tengah malam saya bekerja di restoran,” katanya.
Mohd Hafis berkata, sejak popular di laman sosial ada banyak pihak yang menyokong perkhidmatan yang disediakan dan sudah ada pihak yang sudi menaja baju untuk dia mempromosikan perkhidmatannya.
Menurutnya, kepada yang ingin mendapatkan perkhidmatan menghantar barangan boleh menghubunginya dengan upah seikhlas hati. - sinarharian
Comments
Post a Comment