Kuala Lumpur : Mengerikan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan putus pergelangan tangan kanannya akibat tersepit pada tangga eskalator di KL Sentral di sini, awal pagi semalam.
Lebih menyedihkan apabila tangan mangsa yang putus hanya berjaya dikeluarkan dari dalam eskalator itu kira-kira dua jam selepas kejadian.
Dalam insiden kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd Afkar Daniel Freedy cedera parah ketika dibawa ibu bapanya pergi ke pusat beli belah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan berjalan ke arah tangga eskalator di tingkat dua bangunan itu.
Menurutnya, kejadian itu tidak disedari kedua ibu bapa mangsa yang ketika itu sedang membeli barang di premis berhampiran.
“Mangsa dipercayai menaiki eskalator dari aras dua menuruni tingkat satu bangunan sebelum tangan kanannya tersepit di tangga bergerak itu. Akibatnya pergelangan tangan mangsa putus dan memasuki celah eskalator itu.
“Insiden itu bagaimanapun disedari anggota pasukan polis bantuan yang berada di lokasi kejadian. Anggota polis itu kemudian segera memberi bantuan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan polis percaya insiden ini lebih kepada kelekaan ibubapa memerhatikan mangsa.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. CCTV hanya tertumpu di bahagian tangga sahaja,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Comments
Post a Comment